Wednesday, September 30, 2015

Penternakan Itik Penelur dan Pedaging

My Contacts :
6019-6741196
6016-9007857 (WhatsApp)
kopetas30@gmail.com
Salahuddin

My Sites

Pembekal Kayu Nibong dan Buluh

Pengenalan

         Penternakan itik penelur dan pedaging semakin mendapat tempat dikalangan pengusaha tempatan. Penternakan ini memang menguntungkan sekiranya diusahakan secara betul dan dengan memahami kehendak dan keperluan itik dari segi perumahannya, pemakanannya, sifat-sifatnya, penyakit dan lain-lain hal yang bersangkutan.

Kegagalan pengusaha memahami tabii itik atau tidak menyediakan keperluan-keperluannya boleh menjadi penyebab terbesar yang menyumbang kepada kegagalan projek penternakan itik ini.

Belajar dari pengalaman adalah amat penting sekali kerana kadang-kala teori yang dibaca dari buku-buku, ilmu yang diperolehi semasa kursus jangka pendek atau sessi lawatan ke reban itik orang lain yang dianggap berjaya kadangkala tidak menepati citarasa, keadaan sekeliling, kemudahan, peralatan serta modal kita.

Reban Itik

Syarat paling utama dalam menguruskan reban dan kelengkapan persekitaran reban itik ialah untuk mengelakkan berlakunya stress pada itik terutamanya kepada itik penelur (Khaki Campbell) Sekiranya stress terjadi, bilangan telur akan turun mendadak kadangkala boleh mengakibatkan penyakit dan kematian. Stress pada itik boleh berlaku dalam banyak keadaan sebagai contohnya :-

-Kesesakan atau bilangan itik yang terlalu banyak dalam reban yang sempit.

-Jumlah bekas makanan atau minuman yang tidak mencukupi mengakibatkan itik terpaksa berebut-rebut untuk makan dan minum.

-Keadaan reban yang basah dan kotor, menyebabkan ketidakselesaan pada itik.

-Gangguan dari persekitaran seperti adanya haiwan lain seperti lembu, kambing monyet, anjing dan lain-lain yang menakutkannya atau usikan dari kanak-kanak. Walaupun gangguan-gangguan ini datangnya dari luar pagar, tetapi ianya tetap boleh menyebabkan berlakunya stress. Berdasarkan pengalaman saya, reban itik penelur yang baik mestilah berlampu pada waktu malam, dindingnya perlu bertutup contohnya dengan kanvas pada waktu malam supaya itik telur ini tidak nampak apa-apa diluar reban. Walaupun seekor katak melompat di luar pagar, sudah cukup untuk menghuru-harakan seluruh reban itik itu, bayangkan kalau anjing liar atau lembu yang melintas reban itu.

-Bekalan elektrik, lampu kecemasan dan generator backup.
Disamping itu lampu kecemasan yang mencukupi juga perlu diletakkan didalam reban, sebagai langkah berjaga-jaga apabila berlakunya terputus bekalan elektrik Berdasarkan pengalaman, saya pernah menjaga projek itik penelur yang dianjurkan oleh sebuah agensi kerajaan disini. jumlah itik adalah lebih kurang 3500 ekor, rebannya agak sempit menyebabkan itik agak sesak. Sejak  bermulanya projek ini memang tidak ada lampu kecemasan. Walaubagaimanapun tiada masalah kerana reban ini mempunyai lampu dan bekalan elektrik yang cukup. Keadaan Itik adalah baik dan separuh dari itik telah mula bertelur. Saya telah memberi amaran kepada pihak atasan projek ini supaya menyediakan lampu kecemasan, tetapi malangnya tidak diendahkan. Pada suatu malam berlakulah hujan lebat disertai angin ribut. Sepohon pokok telah tumbang menimpa wayar elektrik ditepi jalan. Akibatnya reban itik kami bergelap pada malam itu dan disertai 2 malam lagi berikutnya kerana hujan ribut berterusan, Pada hari ke-3 selepas kejadian itu, jumlah itik yang masih hidup hanya tinggal 50 ekor sahaja. Anda sila fikirkan betapa pentingnya lampu kecemasan dan generator backup.

Itik mesti dikurung pada malam hari, ini adalah untuk mengelakkan itik menjadi makanan pemangsa seperti anjing liar, ular sawa, musang, pencuri dan lain-lain. Kadangkala kita terlupa menghalau itik masuk ke reban pada malam, kebetulan pula malam itu berlakunya hujan lebat, bila hujan turun itik akan bermain hujan tanpa menghiraukan kesejukan. esoknya kita akan mendapati sebilangan itik tidak boleh berjalan. bila di periksa rupanya itik tu dah kena selsema..Pada hari itu dan 2 3 hari selepasnya banyaklah itik yang mati kerana tidak tahu cara untuk merawatnya.Selsema pada manusia tidak merbahaya, selsema pada itik / ayam boleh membawa kematian.

Reban itik yang baik.

-Mempunyai keluasan yang mencukupi dengan jumlah itik sebagai contohnya jarak ruang yang sesuai untuk seekor itik dewasa adalah 3 kaki seekor.
-Jauh dari kawasan perumahan. (sekurang-kurangnya 500 meter)
-Mempunyai ventilasi udara yang baik.
-Kedudukan reban ialah melintang matahari naik dan turun. Ini supaya cahaya matahari dapat masuk ke dalam reban pada awal pagi dan waktu petang.
Pada waktu siang, itik dilepaskan keluar dari reban dan cahaya matahari dapat masuk untuk mengeringkan lantai reban Apabila malam hari itik dapat berehat dengan selesa
Pengurusan anak itik pada peringkat awal (anak).

   Peringkat paling kritikal dalam penternakan itik. Kebanyakan penternak itik yang baru tidak begitu memahami cara pengurusan yang betul pada peringkar ini menyebabkan berlaku kerugian yang banyak kerana anak itik banyak yang mati.

Masalah ini berlaku pada semua jenis anak itik dan juga anak ayam yang baru dibeli dari pemborong. Masalah ini berlaku sejak hari pertama anak ternakan ini sehinggalah berumur 2 minggu keatas.

Latar belakang masalah

Secara semulajadi, anak itik dieramkan oleh ibunya. Sejak menetas, pada waktu malam yang sejuk anak itik/ayam akan duduk dibawah badan ibunya yang hangat, dengan itu mereka terlindung dari cuaca sejuk.

Berbeza dengan anak itik / ayam yang dibeli dari pemborong. Tidak ada ibu itik / ayam bersama mereka. Apa yang berlaku pada waktu malam yang serjuk?

Mereka akan duduk berhimpit sesama sendiri untuk mendapatkan haba panas dari badan anak itik / ayam yang lain.

Jika jumlah anak itik / ayam itu 10-20 ekor tidak menjadi masalah. Tetapi jika jumlah anak itik / ayam itu ratusan atau ribuan didalam sebuah reban yang luas akan ada masalah yang besar.

Walaupun disediakan alat pemanas seperti mentol atau pemanas dari api gas, mereka tetap akan duduk berhimpit-himpit sehingga 4-5 lapisan. Anak itik / ayam yang duduk di lapisan paling bawah akan mati terhimpit keesokan harinya.

Pada waktu itu, walau dihalau macamana sekalipun, mereka akan tetap berkumpul dan berhimpit. Dihalau disini mereka berkumpul disana, dihalau disana mereka berkumpul disini. Begitulah yang terjadi sehingga kita letih menghalau dan surrender dan masuk tidur. Esok paginya, kerja kitalah mengutip bangkai anak itik/ayam. Bayangkanlah berapa banyak yang kita rugi.


Cadangan penyelesaian

Sebuah reban khas perlu dibina untuk anak itik / ayam ini. Sebaiknya reban ini hendaklah dibina didalam reban itik yang telah siap dibina (reban didalam reban) supaya terlindung dari kepanasan disiang hari  dan kesejukan yang melampau pada malam. Lantainya   menggunakan jaring plastik bersaiz setengah inci atau yang sesuai supaya makanan dan minuman yang tertumpah serta najisnya boleh jatuh ke bawah. Ini untuk mengelakkan anak itik terkena kelembapan dan sentiasa kering.

Halangan atau blok perlu dibina supaya anak itik tidak boleh berkumpul beramai-ramai untuk mengelakkan kematian akibat berasak-asak di waktu malam.

Halangan yang sesuai adalah setinggi 1 kaki. Dibuat menggunakan jaring, plywood atau apa sahaja yang sesuai asalkan dapat menghalang mereka berkumpul.

Saiz blok terpulang kepada kemampuan anda. Contohnya blok bersaiz 3 x 3 kaki persegi boleh memuatkan 20 ekor anak itik. Dengan jumlah yang kecil ini akan dapat mengurangkan kematian anak itik akibat berasak-asak.

Setiap blok mempunyai bekas makanan dan minuman sendiri.

Alat pemanas seperti mentol elektrik atau penunu hoover yang menggunakan api gas hendaklah dipasang di malam hari. Sekiranya anda ada kemampuan setiap blok boleh dipasang pemanas dari mentol elektrik  yang sesuai.

Contohnya ialah mentol 40 watt dipasangkan cap / corong yang menghalakan cahaya ke bawah  digantung kira-kira 4-5  inci diatas kepala anak itik/ayam. Pada waktu malam semua anak itik/ayam akan berkumpul dibawah mentol ini untuk mendapatkan kepanasan.  Ketinggian yang sesuai dan boleh dilaras adalah perlu supaya mengelakkan mentol ini dipatuk oleh anak itik . ayam ini.

Anak itik/ayam hendaklah dipelihara disini sehingga umurnya mencapai 3-4 minggu.


Apabila bulu dibadannya sudah mulai tumbuh dan mereka kurang berasak lagi pada waktu malam, maka bolehlah blok  ini  dibuka dan mereka dibenarkan bebas didalam reban.

Makanan untuk anak itik

Paling mudah ialah anda dapatkan makanan untuk anak ayam yang djuga dipanggil "starter" (dedak ayam halus). Yang berkualiti dan mempunyai protin tingg biasanaya berwarna hitam. kalau yang agak kekuningan itu kadar protinnya rendah dan biasanya lebih murah dari yang berwarna kehirtaman,

Anak itik diberi makanan ini dalam tempoh sebulan sebelum boleh diberi makanan buatan sendiri.

Pengurusan Najis (tinja) Itik

Satu persoalan yang jarang difikirkan oleh penternak itik pada permulaan projek, tetapi akan menjadi masalah yang mengganggu fikiran penternak setelah projek berjalan beberapa bulan kemudian.

Najis itik yang banyak akan mengundang kepada masalah bau busuk dan pembiakan lalat seterusnya reban itik itu akan dimaki oleh jiran-jiran berdekatan. Pernahkah persoalan ini difikirkan sebelum projek itik ini dimulakan?

Oleh itu, rekabentuk reban itik harus dibina dengan mengambil kira kemudahan untuk melupuskan najis itik. Tak kiralah  samada najis itu hendak dikumpulkan kemudian dijual sebagai baja kepada sektor pertanian, atau najis itu hendak dialirkan ke sungai atau parit berdekatan asalkan tidak mengganggu persekitaran.
Antara cadangan yang boleh difikirkan adalah mengalirkan najis itu ke sungai atau parit berdekatan, untuk ini anda perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pihak Jabatan Alam Sekitar atau pihak Majlis Daerah yang berdekatan supaya najis yang dialirkan ke sungai itu mematuhi kadar peratusan yang dibenarkan untuk dilupuskan ke sungai awam supaya tidak timbul isu pencemaran sungai.

Mengalirkan najis itik ke sungai dengan kadar yang sesuai (tidak lebih dari 4 % dari keluasan sungai itu-sila rujuk kepada Jabatan Alam Sekitar) sebenarnya menyuburkan sungai itu sendiri. Najis itik akan menggalakkan pertumbuhan fitoplankton dan zooplankton yang menjadi makanan anak ikan, secara tidak langsung ini akan menggalakkan populasi ikan dalam sungai tersebut.

Untuk cadangan ini, anda perlu merancang pelan reban itu dari awal lagi seperti membina lantai simen, dan longkang atau parit yang sesuai untuk mengalirkan najis itik itu.

Lantai Reban Itik dan Masalah Telur Basah.

Apakah lantai reban itik yang paling baik?? Antara bahan yang popular ialah tanah biasa, pasir, habuk papan, sekam padi dan lain-lain. Masalah yang paling besar ialah untuk menjamin telur itu supaya kering. Sekiranya telur itik basah ia tidak dapat bertahan lama, paling lama seminggu lepas itu ia akan ia akan menjadi telur busuk dan anda akan mendapat kemarahan dari pembeli. Telur yang tidak terkena air (kering) boleh bertahan selama sebulan lebih. 

Semua bahan-bahan yang dijadikan lantai reban itik seperti yang dinyatakan di atas tidak dapat bertahan lama. Selepas seminggu ia akan dipenuhi dengan tahi itik yang basah terutama sekali kalau anda menggunakan hampas soya sebagai bahan campuran dalam makanannya. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila tiba musim hujan, Lantai yang basah sudah pasti akan menjejaskan kualiti telur itik.

Disinilah  masalah itu akan menjadi besar. Jalan penyelesaiaan yang paling cepat ialah menyediakan sarang tempat itik bertelur dengan menggunakan papan atau kotak kayu. Di dalamnya perlu diisi dengan habuk kayu atau sekam padi. Sarang bertelur ini perlu disediakan sebelum itik mula belajar bertelur untuk membiasakan mereka. Kebiasaannya telur yang dihasilkan dari sarang bertelur ini adalah kering.

Berdasarkan pengalaman, tidak semua itik akan bertelur dalam sarang yang disediakan, separuh itik akan bertelur di merata-rata tempat dan ia pasti akan basah.

Penyelesaiaan segera yang biasanya digunakan oleh saya ialah, telur yang kering dikumpul dan dijual kepada peraih telur , telur yang basah terus dibasuh bersih-bersih dan diproses sebagai telur masin. Selesai masalah.

Cadangan lain adalah membina reban berbentuk panggung atau reban atas dengan ketinggian sekurang-kurangnya 6 kaki supaya pekerja boleh masuk ke bawah untuk mengumpulkan najis, lantainya menggunakan kayu yang disusun jarang-jarang atau jaring dan sebagainya. Sepertimana reban ayam komersil  yang biasa kita lihat. Lantai sebegini akan membolehkan najis dan air minuman yang tumpah terus jatuh ke tanah dan keadaan ini mengurangkan risiko telur menjadi basah. Kalau musim hujan pun tidak berapa bermasalah. Selepas itu tambahkan pula dengan sarang bertelur secukupnya.  Saya pasti ini adalah cadangan yang terbaik untuk mengatasi masalah telur basah. Walaubagaimanapun modal yang agak tinggi diperlukan untuk melaksanakan cadangan ini.


 (Pada siang hari itik dilepaskan ke luar reban,
pada malam hari itik dikurung dalam reban)

Itik penelur (khaki campbell) ini memiliki sifat yang amat sensitif dan mudah mendapat stress, untuk menjamin kejayaan dalam penternakan itik penelur ini, kita hendaklah mencipta suasana persekitaran reban yang setenang-tenangnya supaya mereka dapat hidup, membesar dan memberikan hasil yang maksimum.

Elakkan membina reban berdekatan dengan kawasan industri atau tempat yang menghasilkan bunyi bising, Hanya pekerja yang sudah biasa dengan sifat itik ini dibenarkan berada dalam kawasan reban, Kedatangan pelawat hendaklah dihadkan di kawasan tertentu sahaja. Pelawat terutama kanak-kanak tidak dibenarkan memasuki kawasan reban. kerana kanak-kanak mudah teruja melihat itik lalu ingin mengejar dan menangkapnya. Serba salah kita dibuatnya, hendak ditegah, ibu bapanya adalah pelawat,  Itik yang kena kejar tu ada yang terlepas telurnya disitu juga, dan memang comfirmlah itik yang kena kejar tu tak akan bertelur selama beberapa minggu selepas tu.

 Pembiakan itik

-Pengeraman Semulajadi

Bagi anda yang bercadang hendak memulakan penternakan itik penelur (khaki campbell) saya sarankan elok dibeli dalam 20-30 ekor anak itik muscovy / serati ini dan dipelihara dengan itik penelur. Tujuannya ialah apabila sampai masa itik serati ini bertelur dan mulai mengeram, anda boleh mencampurkan telur itik serati dengan telur itik penelur supaya dieramkan sekali. Atau anda boleh menukarkan semua telur itik serati dengan telur itik penelur. (Ibu itik bukannya tahu) Tetapi harus dilakukan dengan berhati-hati. Pantang-larang yang harus diketahui ialah sarang itik itu tidak boleh pindahkan, nanti ibu itik itu akan merajuk dan tak mahu mengeram!!




Ada kalanya ibu serati bertelur ditempat yang tidak sesuai seperti dicelah pokok atau dalam semak-samun yang terdedah kepada hujan.Kalau dipindahkan telur / sarang itu ke tempat lain yang lebih selamat, ibu itik akan merajuk. Apa kita perlu buat?

Jawapannya ialah kita tidak boleh memindahkan sarang tersebut untuk mengelakkan ibu itik itu merajuk, apa yang kita boleh buat ialah membaiki sarang tersebut supaya boleh bertahan dalam cuaca panas dan hujan, ambil kotak plastik / atau besen  yang sesuai letakkan pada tempat asal sarang itu, masukkan semua telur dalam sarang itu ke dalam besen termasuk rumput dan bulu-bulu yang ada dalam sarang asal itu, susun semuanya supaya nampak macam keadaan asal. ambil payung kecil, buangkan pemegangnya dan pacakkan keatas sarang itu supaya sarang itu tidak dibasahi hujan. 

Waktu paling baik  untuk melakukan proses ini adalah semasa ibunya tengah mengeramkan telur itu, dengan hati-hati, alihkan ke tepi ibu itik itu sebentar, kemudian lakukan proses pembaikan sarang itu, setelah selesai, letakkan ibu itik ke dalam sarang barunya. Selesai. Banyak kali saya telah lakukan cara ini, semuanya berjaya. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment